Tahukah anda hijrah sebenarnya berlaku pada bulan Rabiul Awwal ?. Ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram.
Bulan Muharram telah dipilih sebagai permulaan tahun baru Islam oleh Khalifah Kedua Umar Al-Khattab. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya.
Pada malam peristiwa Hijrah, rumah Rasulullah SAW telah dikepung oleh 11 orang pembesar Quraisy yang gagah perkasa dengan bertujuan untuk membunuh baginda.
Rasulullah SAW telah berhijrah bersama-sama dengan Abu Bakar Al-Siddiq. Abdullah bin Uraiqith Al-Laytsi adalah seorang penunjuk jalan dan pandai mencari jalan pintas. Abdullah bin Uraiqith telah diupah oleh Abu Bakar Al- Siddiq kerana arif dalam mencari jalan menuju ke Madinah walaupun Abdullah masih memeluk agama kaumnya namun masih mendapat kepercayaan.
Perjalanan hijrah Baginda dan Abu Bakar Al-Siddiq dari Mekah ke Yathrib (Madinah) adalah dengan menaiki unta.
PERJALANAN HIJRAH NABI MUHAMMAD SAW.
Pada 28 haribulan Safar, Nabi Muhammad SAW telah keluar dari rumah baginda di Mekah bersama Abu Bakar Al- Siddiq selepas berjaya melarikan diri daripada pembesar Quraisy yang gagah perkasa .
Kemudian pada malam 1 haribulan Rabiul Awwal, Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar Al- Siddiq telah bermalam di Gua Thur. Bagi mengelak dijumpai oleh kaum musyrikin Quraisy.
Selepas 3 hari bermalam Baginda Keluar dari Gua Thur. Seperti yang dijanjikan Abdullah bin Uraiqith Al-Laytsi tiba dan mengembalikan tunggangan Baginda lalu menuju ke Yathrib (Madinah) bagi meneruskan perjalanan hijrah baginda.
Walaupun Yathrib (Madinah ) terletak di Utara Makkah, namun Baginda tidak memilih jalan biasa iaitu utara Makkah untuk ke sana.Sebaliknya Baginda menuju ke selatan Makkah. Ini kerana Baginda menyedari bahawa risiko yang sangat tinggi buat mereka di laluan tersebut yang pastinya kaum musyrikin Quraisy sedang menunggu mereka.
Seterusnya, pada 8 haribulan Rabiul Awwal Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar Al- Siddiq telah tiba di Quba’( kota sebelum Madinah). Semasa Nabi Muhammad SAW berada di Quba Baginda turun mengasaskan Masjid Quba’ dan disambut baik.
Kemudian, pada 12 haribulan Rabiul Awwal Nabi Muhammad SAW telah selamat tiba di Yathrib (Madinah) dan baginda telah disambut dengan baik dan penuh kegembiraan oleh penduduk disitu.
KENALI 5 FAKTA HAIWAN DALAM HIJRAH NABI.
Labah-labah. Allah telah memerintahkan labah-labah membuat sarang sutera di pintu masuk Gua Thur dimana tempat Nabi SAW dan Abu Bakar bersembunyi. Bertujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin Quraisy kerana dari segi logik akal tidak logik ada orang di dalam gua jika sarang laba-labah tidak rosak.
Burung Merpati. Allah memerintahkan dua ekor burung merpati betina supaya bertelur dan diam mengeramkan telurnya di hadapan pintu gua bagi mengelirukan lagi kaum musyrikin.
Unta. 100 ekor unta telah ditawarkan oleh pemimpin musyrikin Mekah kepada sesiapa yang berjaya menjejaki Nabi Muhammad SAW.
Kuda. Antara yang mengejar tawaran 100 ekor unta ialah seorang lelaki bernama Suraqah yang berjaya menjejaki Nabi Muhammad SAW. Namun Allah menjadikan kaki kuda Suraqah terbenam di dalam pasir sehingga tidak dapat melepaskan diri. Suraqah berjanji melepaskan Nabi SAW lalu nabi mendoakan dia dan kudanya dilepaskan daripada benaman pasir.
Kambing. Mukjizat Nabi Muhammad SAW kepada Kambing uzur kepunyaan Ummu Ma’bad yang sudah pun uzur dan sakit tiba-tiba mampu mengeluarkan susu kambing yang sangat banyak. Ummu Ma’bad ialah seorang wanita budiman yang biasa memberi makan dan minum kepada para pedagang yang melalui khemahnya di daerah Qadid.
KISAH MUKJIZAT NABI KETIKA HIJRAH MUSUH MENJADI BUTA KERANA DEBU.
Kaum musyrikin Quraisy berniat jahat dan telah berkomplot untuk membunuh Rasulullah SAW lalu menghantar seramai 11 orang pahlawan gagah perkasa untuk mengepung rumah baginda.
Atas perintah Allah, Rasulullah SAW mengambil debu yang berdekatan dengan Baginda dan menebarkannya atas kepala mereka sambil membaca ayat ini :
“Dan Kami jadikan di hadapan mereka sekat (dinding) dan di belakang mereka juga sekat, dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.” (Quran. Surah Yasin ayat 9)
Selepas Rasullah SAW selesai berdoa, dengan izin Allah maka mata kaum musyrikin menjadi gelap dan diserang mengantuk yang amat sangat sehingga terlepas pedang di tangan.
Ketika Rasulullah SAW dan Abu Bakar melewati kaum musyrikin Quraisy, tidak seorang pun dari mereka yang dapat melihat Baginda dari mata kasar mereka.
Atas pertolongan Allah Rasulullah SAW kemudiannya meninggalkan rumah baginda dengan selamat tanpa sebarang halangan bersama Abu Bakar Al-Siddiq.
KENALI 3 SRIKANDI ISLAM.
SIAPAKAH SRIKANDI ISLAM YANG DIGELAR DZATUN NITHAQAIN ?. Asma Abu Bakar adalah seorang wanita yang ketika hamil 7 bulan telah menghantar makanan kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar Al-Siddiq yang bersembunyi di Gua Thur semasa perstiwa hijrah. Wanita ini telah memotong kain ikatan pinggangnya untuk mengikat bekas makanan yang dibawanya. Beliau telah digelar Dzatun Nithaqain ( Pemilik Dua Ikat Pinggang).
SIAPAKAH WANITA PERTAMA YANG BERIMAN DISAAT SEMUA ORANG MENGINGKARI KERASULAN NABI ?. Beliau ialah Khadijah Khuwailid. Sebab beliau diangkat sebagai srikandi islam kerana kata-kata beliau : “Wahai Rasulullah. Sekiranya nanti aku mati sedangkan perjuanganmu ini belum selesai, sekiranya engkau hendak menyeberangi sebuah lautan, sekiranya engkau hendak menyeberangi sungai namun engkau tidak memperoleh rakit mahupun sebuah jambatan. Maka galilah lubang kuburku, ambilah tulang belulangku. Jadikanlah sebagai jambatan untuk engkau menyeberangi sungai supaya engkau dapat berjumpa dengan manusia dan menyebarkan dakwahmu.”
ASIAH SEORANG ISTERI YANG BERIMAN WALAUPUN DIZALIMI SUAMI. Asiah dalam setiap sujudnya selalu berdoa kepada Allah dan dalam doanya: “ Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya yang kufur dan buas. Serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim “. Surah At- Tahrim Ayat 11